Salah melontar Jamrah Kubra pada jamrah yang lain. Apa Hukumnya?
Soalan:
Jemaah telah melakukan lontaran Jamrah Kubra (juga dikenali sebagai Jamrah Aqabah di mana ia merupakan lontaran pada hari ke 10 Zulhijjah) pada jamrah lain dan bukannya di Jamrah Kubra. Apa hukumnya?
Jawapan:
Tidak sah lontaran tersebut dan beliau hendaklah mengulanginya kembali. Jika pada 11 Zulhijjah beliau membuat lontaran ketiga-tiga Jamrah, maka lontaran di Jamrah Sughra dan Wusta tidak diambil kira. Hanya lontaran di Jamrah Kubra sahaja sah dan ia menggantikan lontaran pada 10 Zulhijjah tersebut.
Sekiranya beliau membuat Nafar Awwal dan hanya melontar untuk hari ke 12 Zulhijjah sahaja dan tidak mengulangi lontaran untuk hari ke 11, maka tidak sah Nafar Awwalnya kerana lontaran pada hari ke 12 tersebut terpakai untuk lontaran hari ke 11.
Begitu juga, sekiranya beliau membuat Nafar Thani iaitu melontar pada 13 Zulhijjah, lontaran tersebut diambil kira sebagai lontaran untuk hari ke 12. Jika sekiranya beliau tidak menambah lontaran pada ketiga-tiga Jamrah sebelum terbenam matahari pada 13 Zuhijjah, maka beliau dikenakan Dam Tertib dan Taqdir kerana lontaran hari ke 13 sebenarnya tidak dilakukan.