Berasa Ragu & Tidak Pasti Bilangan Pusingan Tawaf Sebenar Semasa Tawaf
Permasalahan:
- Biasa berlaku kepada ramai orang, mereka berasa ragu dan tidak pasti berapa jumlah pusingan tawaf yang sedang dilakukan, akibat terleka kepada sesuatu yang lain semasa tawaf dan hilang tumpuan mengingati jumlah pusingan yang telah dilakukan.
- Apa yang perlu dilakukan?
Penyelesaian:
Biasanya keraguan mengenai jumlah pusingan tawaf yang dilakukan, adalah antara dua bilangan pusingan yang berturutan seperti empat atau lima pusingan. Menurut kaedah, kita hendaklah meninggalkan apa yang ‘ragu’ dan berpegang kepada apa yang ‘yakin’.
Dalam keadaan ini, apa yang ‘ragu’ ialah bilangan yang lebih iaitu lima pusingan dan apa yang ‘yakin’ ialah bilangan yang kurang iaitu empat pusingan.
Maka hendaklah mengambil kira bahawa tawaf yang sudah dilakukan ialah empat pusingan bukan lima pusingan, kemudian lakukan untuk pusingan ke lima hingga cukup tujuh pusingan.